Melaka nafi umum beri bonus BRAM

  • 7 years ago
Kerajaan negeri Melaka menafikan tentang kewujudan bonus Bantu Rakyat Melaka (BRAM) sebanyak RM750 kepada rakyat yang berumur antara 16 hingga 55 tahun dilahirkan di Melaka, yang tular di laman sosial.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron yang kini berada Tanah Suci kerana menunaikan umrah, memuat naik video penafian tersebut di Facebooknya.

"Itu adalah fitnah belaka. Saya menafikan sekeras-kerasnya. Itu adalah cerita yang direka dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar berkata ia adalah satu fitnah kerana kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang bayaran selain daripada bonus Aidilfitri yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan yang diguna pakai untuk penjawat awam yang bernilai RM500 sebelum ini.

Naim berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh berhubung berita palsu itu untuk siasatan dan tindakan.