Pengeluaran umur 60: Dua minggu untuk suarakan pandangan

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 20 April - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memberi masa dua minggu kepada pencarum untuk menyatakan pandangan dan pendapat mereka mengenai cadangan pelaksanaan penyelarasan pengeluaran penuh kepada umur 60 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahrir Ridza Ridzuan berkata, pencarum boleh menyatakan pandangan mengenai cadangan tersebut melalui i-Akaun masing-masing.

"Cadangan pertama, yang terkandung dalam inisiatif pertama, menganjakkan umur pengeluaran penuh daripada umur 55 kepada 60 tahun secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 15 tahun.

"Cadangan kedua adalah untuk mengekalkan pengeluaran umur 55 tahun untuk simpanan sedia ada dan memperkenalkan pengeluaran umur 60 bagi mereka yang bekerja dan mencarum selepas umur 55 tahun," kata Shahril Ridza dalam taklimat Penambahbaikan Inisiatif Skim KWSP di ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

"Cadangan-cadangan berkenaan adalah bagi menangani isu berkaitan ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan ahli KWSP dalam masa jangka panjang.

"Mengikut statistik KWSP, sebanyak 78 peratus ahli aktif KWSP pada umur 54 tahun tidak mencapai simpanan asas mereka iaitu RM196,800.

"Sebanyak 68 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun pula mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000," kata Shahril Ridza.

Inisiatif-inisiatif KWSP, jelas Shahril RIdza, merangkumi empat penambahbaikan termasuk inisiatif pertama yang memberi pilihan terhadap penyelarasan umur Pengeluaran Penuh dengan Umur Persaraan Minimum yang ditetapkan oleh kerajaan kepada para pencarum.

Dalam pada itu, tiada perubahan dibuat terhadap pengeluaran prapersaraan sedia ada, tambah beliau.

Insiatif kedua pula melibatkan penyelarasan amaun caruman minimum berdasarkan gaji ninimum yang ditetapkan di bawah undang-undang yang berkaitan.

Inisiatif ketiga pula melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 sehingga 100 tahun.

Inisatif keempat memperkenal simpanan persaraan patuh syariah sebagai tambahan kepada skim simpanan persaraan sedia ada.

"Inisiatif ini membolehkan ahli boleh membuat pilihan untuk bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah apabila ia diperkenal kelak," kata Shahril Ridza

Jelas Shahril Ridza, selepas pencarum memberikan pandangan dalam tempoh dua minggu bermula esok, Lembaga Pengarah KWSP akan bermesyuarat membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh pencarum dan selanjutnya akan dibentangkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

KWSP berhasrat melaksanakan inisatif berkenaan pada tahun ini.

Pencarum boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisatif tersebut di www.kwsp.gov.my. -UTUSAN ONLINE

Disyorkan