GST tidak beri kesan kepada industri halal - PM

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 1 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa industri halal tidak terkesan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang mula dikuatkuasakan hari ini juga.


Najib dalam ucapan perasmian pada Sidang Kemuncak Halal Dunia 2015 (WHS) di sini petang ini berkata, kebanyakan barangan halal tidak dikenakan GST.

"Ini berita baik kepada industri halal. Kebanyakan produk halal seperti ikan, daging, ayam dan itik serta sayur-sayuran dikecualikan daripada GST.

"Peniaga-peniaga turut mendapat manfaat," kata Najib.

Najib turut sekali lagi menegaskan bahawa GST adalah halal seperti yang termaktub dalam fatwa dan pengesahan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menurut beliau, pelbagai kajian dan perbincangan telah dilakukan selama 35 tahun sebelum GST dilaksanakan bagi mengganti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) antara 5-10 peratus yang telah dilaksanakan sejak tahun 1970-an lagi..

Sementara itu, Najib berkata, potensi ekonomi halal dunia kini mencecah $AS2.3 trilion dengan segmen makanan halal sahaja bernilai $AS700 bilion.

"Hari ini bilangan umat Islam adalah 1.6 bilion iaitu 23 peratus daripada jumlah populasi global. Bilangan ini akan meningkat 26 peratus pada 2030 dan dalam tempoh 15 tahun lagi akan meningkat kepada 2.2 bilion orang.

"Ini membuka peluang yang besar. Asia Barat, Afrika Utara dan Asia akan kekal menjadi pasaran halal yang kukuh," kata Najib.

Jelas Najib, Amerika Utara yang mempunyai umat Islam seramai 3.5 juta dan Eropah seramai 44 juta adalah pasaran berpotensi bagi industri halal. - UTUSAN ONLINE

Disyorkan