Anugerah Tribute P.Ramlee: Sembilan kategori jadi rebutan

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 8 April - Sebanyak sembilan kategori akan dipertandingkan sempena Anugerah Tribute P. Ramlee musim kedua yang akan berlangsung pada 19 April ini.

Menurut Pengarah Bahagian Rancangan TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norliza Mohd Ali, jumlah tesebut meningkat berbanding hanya tujuh kategori pada penganjuran pertama dua tahun lalu.

Beliau berkata, penambahan itu berikutan dua anugerah baharu yang diperkenal tahun ini iaitu Anugerah Tokoh Filem Melayu dan Anugerah Khas Juri.

"Jumlah penyertaan juga bertambah tahun ini apabila sebanyak 13 telefilem daripada nama-nama besar dalam industri perfileman tempatan baik dari segi pengarah mahupun pelakon.

"Telefilem-telefilem berkenaan yang telah ditayangkan di RTM dengan tema berdasarkan lagu-lagu Allahyarham Seniman Agong Tan Sri P. Ramlee," katanya.

Anugerah Tribute P.Ramlee dianjurkan oleh RTM dan Kumpulan Utusan dan mendapat kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Norliza berkata, anugerah berprestij ini adalah bagi memperingati perjuangan Allahyarham P.Ramlee yang mengharumkan industri seni tanah air.

"Dengan adanya Anugerah ini kita dapat mengekalkan nama beliau sebagai seorang penghibur sepanjang zaman," katanya.

Malam Anugerah Tribute P.Ramlee itu akan disiarkan secara langsung oleh TV1 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri mulai pukul 9 malam.

Utusan Online turut membuat laporan langsung malam anugerah tersebut menerusi portal berita itu sepanjang penganugerahan itu berlangsung. - UTUSAN ONLINE

Disyorkan