MH370: Keluasan kawasan pencarian digandakan 60,000km persegi

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 16 April - Mesyuarat peringkat menteri Jawatankuasa Bersama Tiga Negara Pencarian MH370 ketiga bersetuju untuk menggandakan keluasan kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu kepada 60,000 kilometer persegi lagi di Lautan Hindi.



Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dengan bertambahnya kawasan pencarian itu, 95 peratus daripada laluan penerbangan asal pesawat MAS, MH370 itu bakal dapat diselesaikan.



"Mesyuarat peringkat menteri telah memutuskan untuk menambah keluasan kawasan pencarian menjadikan luas keseluruhan kawasan pencarian menjadi 120,000 kilometer persegi selepas diselesaikan kelak.



"Keputusan ini diambil selepas pasukan mencari dan menyelamat tidak menjumpai pesawat malang itu pada pencarian di lokasi awal seluas 60,000 kilometer persegi," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat menteri Jawatankuasa Bersama Tiga Negara Pencarian MH370 ketiga di sini hari ini.



Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.



Dalam perkembangan sama, Truss turut memberitahu, kawasan pencarian baharu yang melibatkan 60,000 kilometer persegi itu turut menyerupai bentuk muka bumi kawasan pencarian asal.



"Jadi kemungkinan pasukan mencari dan menyelamat akan menghadapi situasi dan rintangan yang sama di mana kami menjangkakan usaha tersebut akan selesai penghujung tahun ini," katanya.



Sementara itu, Chuantang turut mengulangi komitmen China untuk terus sama-sama membantu usaha pencarian itu sehingga satu keputusan baharu dibuat.



"Kami akan terus menghantar pakar-pakar untuk membantu usaha penyiasatan dan pencarian pesawat MH370 itu selain komitmen kewangan yang akan dikongsi bersama," katanya. - UTUSAN ONLINE