PSM tuntut Vincent Tan tunai janji bina rumah untuk pekerja estet

  • 6 years ago
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan menuntut hartawan Tan Sri Vincent Tan untuk memenuhi janji yang dibuatnya bagi menyediakan rumah untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya (dahulunya dikenali sebagai Batang Berjuntai).

Arutchelvan hadir bersama sekumpulan kira-kira 20 orang termasuk mereka yang berasal dari Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjaya City di pusat beli-belah Berjaya Times Square untuk menyerahkan surat tuntutan kepada wakil Tan.

Selepas perbincangan selama dua jam dengan wakil Tan, yang disifatkan Arutchelvan sebagai menyenangkan dan harmoni, beliau berkata bahawa PSM telah meminta Tan untuk menyediakan 20 ekar tanah untuk membina rumah teres untuk 245 keluarga.

"Terdapat empat generasi keluarga pekerja ladang di Batang Berjuntai - Ladang Mary, Nigel Garder, Bukit Tagar, Sungai Tinggi, dan Minyak," katanya kepada media di pusat membeli-belah itu.

Arutchelvan berkata permintaan itu adalah susulan surat yang diserahkan pihaknya kepada Tan serta bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, tahun lepas.

Wakil Tan, Penolong Pengurus Besar Berjaya Corporation Berhad Mohamed Syairoz Mohd Odman mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat daripada PSM dan akan menyerahkan kepada Tan.

Recommended