Hakim: Rosmah perlu isytihar hartanya

  • 5 years ago
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor gagal untuk mengketepikan notis pendakwaan yang memerlukan beliau mengisytiharkan hartanya dalam kes penggubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa mematuhi notis berkenaan tidak akan menjejaskan haknya untuk perbicaraan yang adil kerana ia tidak ada kena mengena dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya itu.

Pada 10 Mei lalu, Rosmah mencabar kesahihan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) dengan mendakwa ia bertentangan dengan perlembagaan dan peruntukan di bawah undang-undang tersebut menyekat haknya untuk berdiam diri.

Pihak pembelaan berhujah notis di bawah Seksyen 49 Amla itu melanggar hak Rosmah untuk mendapatkan perbicaraan adil serta keistimewaannya untuk tidak menunjukkan dirinya bersalah (self-incrimination).

April lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan notis terhadap Rosmah untuk mengisytiharkan pembelian hartanahnya dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya itu.

Rosmah menghadapi 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima lagi tuduhan kerana didakwa gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 4 Oktober tahun lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Recommended