"Suasana sekarang perlukan Tun M terus jadi Perdana Menteri"

  • 4 years ago
PAS tetap dengan pendirian agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pilihan raya umum ke-14, meskipun terus menerus diasak untuk melepaskan jawatannya.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata ini kerana suasana ketika ini memerlukan Mahathir kekal memegang jawatannya.

"Ya, (PAS) masih mengekalkan sokongan kepada Tun (Mahathir) dan masih lagi mempertahankan Tun untuk menjadi perdana menteri, kerana suasana yang ada ini Tun perlu jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas desakan agar Mahathir melepaskan jawatannya.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Marang itu berkata isu peralihan kuasa perdana menteri yang hangat dibincangkan hanya boleh berlaku dengan cara peletakan jawatan dan mengadakan undi tidak percaya di Parlimen.

Abdul Hadi berkata undi tidak percaya akan lebih memudahkan pihak yang mahukan peralihan kuasa tersebut berlaku.

"Demokrasi ini macam-macam boleh berlaku, antaranya ialah seperti yang diuar-uarkan ialah perdana menteri letak jawatan dan ganti orang lain, kedua undi tak percaya di Parlimen.

"Jadi, pihak yang nak sangat (jadi PM) ini buat undi tak percayalah. Dan bagi saya, lebih baik pilih yang undi tak percaya itu, tak menyusahkan rakyat sangat,” katanya.

“Walaupun kita tak setuju dengan kerajaan, tapi pilihan raya dah berlaku. Ada proses demokrasinya. Proses demokrasinya ialah undi tidak percaya di parlimen, itu lebih mudah,” katanya.

Mengulas kemungkinan PRU15 akan diadakan lebih awal, Abdul Hadi berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan pembubaran parlimen

Recommended